Pages

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

January 08, 2011

Anugerah Juara Lagu

KOMPOSER dan penulis lirik manakah bakal mengukir senyuman paling manis pada pentas kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) tahun ini?


Ketika banyak pihak percaya lagu nyanyian artis solo akan muncul juara, tidak kurang meramalkan lagu dendangan artis indie berkumpulan akan kembali bertakhta pada anugerah muzik berprestij itu. Apa yang jelas, semua mempunyai peluang yang cerah untuk menang kerana sebanyak 70 peratus markah diberikan lebih awal kepada lagu yang bertanding manakala 30 peratus lagi diberikan secara ‘live’. Untuk melihat siapa yang hebat, nantikan debaran 14 lagu yang akan berentap pada final AJL25 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam esok.

Tahun lepas, lagu Pergi nyanyian Aizat karya Pete Teo, dijulang sebagai pemenang AJL24. Namun tahun ini Aizat tidak tersenarai langsung ke final dan ia membuka peluang kepada artis dan lagu lain pula.
Persoalan sekarang, apakah lagu artis berkumpulan mampu merampas takhta AJL daripada artis solo? Sejarah menyaksikan pentas AJL pernah dikuasai artis berkumpulan seperti Estranged (Itu Kamu) dan Meet Uncle Hussain (Lagu Untukmu) masing-masing pada AJL22 dan AJL23.

Sudah dua tahun, konsep kategori dimansuhkan dalam AJL. Lalu, semua genre lagu mempunyai peluang sama rata untuk menang.

Bintang realiti TV terus memberikan saingan sengit dalam AJL25. Shahir, Hafiz, Stacy dan Adira dari Akademi Fantasia (AF) akan mempertaruhkan kemampuan masing-masing dalam membawakan lagu mereka.
Jika diukur dari segi peminat, Shahir memang popular. Lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan sangat ‘catchy’ dan terarah ke retro. Namun kelincahan Stacy sukar ditandingi manakala Adira dan Hafiz pula hebat dengan vokal mereka.

Tidak ketinggalan, juara One In A Million, Tomok dengan lagu Berlari. Ia ada sentuhan segar dan moden. Juara Mentor 3, Black miliki aura rock menerusi Sofea Jane dikatakan ada peluang cerah untuk muncul juara. selain itu Black juga menyerlah secara berkumpulan apabila bergandingan dengan Meet Uncle Hussain (MUH) dalam lagu Drama King. Kebolehan finalis lain - Yuna, Ana Raffali dan Faizal Tahir - usah diperkecilkan sama sekali. Mereka pastinya mahu tinggalkan mutu persembahan yang berkesan. Walaupun lagu Ana lebih ‘easy listening’, dia juga sudah bersedia untuk mencabar yang lain.
Kita berharap juri profesional akan memberikan keputusan terbaik bukan saja daripada segi mutu karya melodi, lirik dan susunan muzik, tetapi juga persembahan artis yang bertanding. Dalam nota positif, kita mahukan karya matang, segar dan menampakkan kemajuan, dijulang sebagai pemenang.

Antaranya tema romantika dan ‘riff’ bingit band Indie seperti Hujan dengan lagu Mencari Konklusi dan Bunkface (Extravaganza), kita akan lihat persaingan yang cukup sengit malam esok. Kehebatan band ‘ultra indie’ iaitu A.P.I dengan lagu popular mereka, Pelita juga ingin mencuri perhatian juri. Selain dianggotai Loque (Monoloque), cabaran band Adiwira Indie diperkuatkan dua vokalis, Noh Hujan dan Azlan Typewriter, membentuk gandingan bersama AJ Pop Shuvit (bass), Imran One Buck Short (dram) dan Din Estranged (gitar). Ini bermakna semangat A.P.I sangat membara untuk mengembalikan semula kehebatan band Indie yang pernah dua kali bergelar juara. Habuan lumayan menanti lagu terbaik. Juara akan meraih wang tunai RM35,000 dan trofi, naib juara RM15,000 & trofi dan tempat ketiga RM12,000 & trofi. Ppersembahan serta vokal terbaik pula masing-masing mendapat RM10,000 & trofi.

AJL25 bakal dihoskan Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar. 


Antara artis yang membuat persembahan bagi segmen interlud termasuk Francissca Peter, Ziana Zain, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza.


sumber harian metro

No comments:

Post a Comment

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!