Pages

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

January 02, 2011

Dafi

SELALUNYA orang kata, coklat hanya sinonim dengan wanita tetapi tidak perlu pelik sekiranya golongan lelaki juga menyukai manisan itu. Gadaffi Ismail Sabri (Dafi), misalnya menyifatkan coklat sebagai antara makanan yang tidak dapat dipisahkan daripada hidupnya sehingga dia sendiri boleh membezakan sesuatu kualiti coklat berkenaan bagus atau tidak.
Sempena meraikan hari lahirnya yang ke-22 baru-baru ini, Dafi turut mempunyai impian suatu hari nanti dapat membuka kedai coklat dan kek mengikut cita rasanya yang pasti disukai semua.

“Saya sangat teruja apabila melihat coklat, tidak dinafikan agak pelik dilihat apabila lelaki 'gila' pada coklat. Disebabkan kegilaan ini, saya teringin mempunyai kedai coklat dan ini juga turut termasuk dalam perancangan hidup saya.
“Tidak saya nafikan ramai artis turut mengambil peluang membuka pelbagai jenis perniagaan sebagai bekalan hidup, saya juga tidak terkecuali dan berharap perniagaan ini dapat pergi jauh kerana saya yakin coklat adalah makanan yang mempunyai penggemarnya tersendiri,” katanya.

Datang daripada keluarga senang serta diberi kebebasan memilih jalan hidup sendiri, bukan bermaksud Dafi boleh melakukan sesuka hati. Malah kebebasan yang diberikan ibu bapanya harus dibuktikan dengan kejayaan yang mampu membanggakan keluarganya suatu hari nanti.

Justeru, pada usia yang muda banyak perancangan diatur bagi mencapai impiannya untuk bergelar salah seorang artis lelaki yang berjaya seperti idolanya, KRU yang kini mampu berbangga sebagai usahawan.
Mengakui masih banyak lagi impiannya yang belum tercapai, namun Dafi mahu berusaha sendiri dan berharap segala urusannya dipermudahkan.

“Saya tidak pernah menyalahgunakan peluang yang ada, biarpun keluarga sentiasa menyokong karier saya, tetapi saya masih tetap ingin berusaha sendiri kerana itulah setiap tahun saya mempunyai sasaran apakah yang ingin saya lakukan.
“Jika tahun 2010 saya lebih fokus kepada lakonan, 2011 adalah masa untuk saya fokus semula kepada nyanyian dan sebagai permulaan single terbaru saya bakal dimainkan pada Januari ini. Harapnya juga sepanjang 2011 ini, album solo yang memuatkan enam lagu akan menjadi pilihan pendengar,” katanya.

Seperti sebelum ini, setiap kali menyambut hari lahirnya, pasti Dafi mempunyai sesuatu yang diketengahkan. Sambutan hari lahirnya yang lalu pula disertakan pelancaran syarikatnya, Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak Jun lalu dengan kerjasama rakan kongsi, Afeeq.

Seperti biasa, ramai artis lebih memilih menubuhkan syarikat sendiri agar mudah menguruskan perjalanan seni masing-masing. Selain itu, syarikat ini turut menyediakan perkhidmatan mendapatkan penyanyi, pelakon, pengacara atau pelawak bagi orang ramai yang inginkan persembahan daripada artis pilihan masing-masing.

“Banyak perancangan saya atur bagi melancarkan pengurusan syarikat. Kami juga mencari artis untuk bernaung di bawah syarikat ini dan buat masa ini, syarikat ini lebih bertumpu kepada kerjaya saya.

“Biarpun syarikat ini masih baru, saya bersyukur mempunyai rakan kongsi yang banyak membantu. Jika diikutkan, semua perkara ingin saya lakukan tetapi menubuhkan syarikat pengurusan bukanlah semudah yang disangka. Berkat pengalaman sewaktu di bawah KRU, saya harap apa yang dirancangkan terlaksana malah KRU juga sudi memberi tunjuk ajar,” katanya.

sumber : harian metro

No comments:

Post a Comment

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!